Wednesday, August 27, 2014

TERENGGANU KONSISTEN LAHIRKAN RAMAI LAGI OLYMPIAN.



Terengganu tetap konsisten dengan hala tuju untuk membangunkan sukan negeri pada landasan kukuh serta melahirkan lebih ramai ikon sukan yang mampu mencipta nama di pentas antarabangsa.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ab Rasid Jusoh, berkata kerajaan negeri menerusi MSNT mengadakan pelbagai program pembangunan sukan bermula dari peringkat sekolah rendah dan akar umbi bagi mengasah potensi sukan.

“Sebagai contoh Sukan Malaysia (Sukma), kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu antara pertandingan yang mampu mengetengahkan potensi atlet kita.

“Visi dan misi MSNT amat jelas dan kita berusaha untuk menuju ke arah itu bagi menyediakan atlet negeri dan kebangsaan yang dapat mewakili negara di persada dunia, sekali gus mampu bergelar olympian,” katanya baru-baru ini.

Ab Rasid berkata, MSNT menyediakan pelan pembangunan sukan secara terancang bermula 2006 lagi, selain perancangan rapi dan tersusun untuk menyediakan atlet ke temasya Sukma seterusnya, dua tahun sebelum temasya menerusi Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu bermula 2010.

Katanya, menerusi pertandingan Sukma terdahulu, khususnya Sukma 2014 yang lalu, MSNT mengadakan ‘post-morterm’ bagi mengenalpasti kelemahan kontinjen dan atlet Terengganu serta kekuatan pasukan lawan.

“Kita mesti sentiasa mengenalpasti kekuatan kita, kelemahan lawan, kekuatan lawan yang lain ke arah kita menyediakan satu pasukan yang lebih mantap.

“Selepas mengenal pasti perkara-perkara tersebut, kita panggil semua jurulatih dan mengurus pasukan baru-baru ini, bagaimana penyediaan jadual latihan yang lebih terancang dan perlu kita lakukan,” katanya.

Tambahnya, latihan di kalangan atlet dilaksanakan secara intensif sebaik sahaja tamat setiap temasya dan mereka hanya berehat sebulan sejurus selesai kejohanan Sukma sebelum menyambung latihan bagi mengekalkan stamina dan mencapai sasaran pasukan.

Katanya, MSNT juga menyediakan jurulatih yang lebih berkaliber dan mampu memenuhi hasrat pasukan termasuk mengimport jurulatih dari luar negara bagi sukan tertentu seperti gimnastik yang akan menggunakan khidmat jurulath dari China.

Sumber Terengganu Traveller. 

No comments:

Post a Comment