Sunday, April 19, 2015

Mobile CTC Akses Penduduk Luar Bandar


20150418_113524


Program Mobile Community Transformation (Mobile CTC) membolehkan perkhidmatan penting sampai kepada penduduk luar bandar dan pendalaman yang tiada akses mudah kepada agensi-agensi kerajaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk ‘merakyatkan perkhidmatan awam’.

Pendekatan yang digunakan adalah melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang di ilhamkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat berkata program Mobile CTC ini merupakan satu usaha yang mempamerkan kesungguhan Kerajaan dalam membawa kesejahteraan kepada rakyat yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan bergerak Kerajaan merentasi pelbagai Kementerian,jabatan dan Agensi Kerajaan.

“Keputusan Kementerian Kewangan mengadakan Program Mobile CTC di Kuala Telemong adalah satu keputusan yang tepat bagi membolehkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan berkaitan kerajaan dengan mudah dan cepat.

“Selain itu, melalui program-program yang di anjurkan seperti sukaneka serta pertandingan warna kanak-kanak dapat meningkatkan semangat kekitaan dan kesejahteraan di kalangan penduduk” katanya sempena Majlis Perasmian Program Mobile CTC di Kuala Telemong.

Beliau turut menyarankan sebuah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di tubuhkan di kawasan yang strategik seperti di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong yang rata-ratanya merupakan kawasan pendalaman yang jauh daripada bandar utama.

“Tidak semua penduduk mempunyai masa atau kenderaan untuk melakukan sesuatu urusan yang berkaitan dengan kerajaan.Sekiranya RTC ada di tempat mereka ,ini lebih menyenangkan mereka untuk melakukan sebarang urusan selain meringankan beban mereka.Barulah selaras dengan slogan Kerajaan yang rakyat didahulukan pencapaian diutamakan,” katanya lagi.

Lebih kurang 22 buah agensi yang turun padang sempena program tersebut untuk memberikan khidmat termasuklah Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Lembaga Tabung Haji, Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara serta Pasar Bergerak 1Malaysia.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Dato’ Wan Mohd, Timbalan Pengarah kanan (Pemantauan) Kementerian Kewangan Malaysia serta pegawai-pegawai kanan jabatan dalam daerah Hulu Terengganu.

1 comment: