Sunday, April 5, 2015

Penerangan GST perlu Ringkas dan Mudah Difahami Rakyat - Dato Rozi Mamat.





Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST ) adalah lebih telus dan seragam berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan ketika kerana mempunyai banyak kelemahan seperti cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan dan perkhidmatan menjadi mahal.

Perbezaan GST dengan SST ialah dari segi skop pengenaan cukai yang lebih meluas iaitu ia dikenakan pada semua peringkat pengeluaran dan pengedaran di samping peniaga boleh menuntut kredit cukai ke atas GST yang dibayar terhadap input perniagaannya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat berkata berbanding sistem SST yang mana cukai jualan hanya dikenakan pada satu peringkat pengeluaran iaitu semasa barang dikeluarkan daripada kilang atau diimport, sementara cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu pada peringkat ia disediakan kepada pengguna.

“Oleh yang demikian peniaga juga dinasihatkan supaya tidak mengambil kesempatan untuk mengenakan GST kepada barangan yang dikecualikan seperti keperluan harian kerana ini boleh menimbulkan masalah kepada pengguna yang akan menyalah tafsirkan perlaksanaannya dan menghentam kerajaan.

“Masalah sekarang adalah pemahaman rakyat di peringkat akar umbi tentang GST yang menimbulkan kekalutan kerana penerangan yang diberikan terlalu padat dan menggunakan bahasa yang tidak dapat difahami rakyat marhain.Semua agensi mesti faham tentang GST sebelum terangkan kepada orang ramai kerana tidak semua agensi yang tahu tentangnya,”katanya.

Dato’ Rozi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Mangsa Banjir DUN Telemong di Jenagor, Hulu Terengganu, kelmarin.

Katanya, kerajaan dan pihak berkaitan perlu menerangkan secara tepat dan ringkas mengenai cukai berkenaan supaya kefahaman mengenainya lebih meluas dan tidak disalahtafsir oleh rakyat.



Beliau berkata, GST yang sudah dilaksanakan di lebih 140 negara seluruh dunia juga apabila dilaksanakan bukan hanya akan memberi faedah kepada golongan berpendapatan rendah, malah seluruh rakyat selain meningkatkan hasil cukai kerajaan serta mengelakkan ketirisan dalam menjana pendapatan negara.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa Persatuan Bola Sepak Terengganu tidak akan menaikkan harga tiket kerana GST berikutan dan persatuan akan menanggung kosnya.

Di majlis itu, seramai 941 orang penerima daripada 27 kampung yang terlibat dengan banjir menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 daripada kerajaan negeri dan RM500 daripada Kerajaan Pusat yang melibatkan jumlah keseluruhan RM941,000

No comments:

Post a Comment