Thursday, February 18, 2016

Terengganu Meterai Mou Pertingkatkan Sukan Berkuda



Bagi menggalakkan perkembangan sukan berkuda di Terengganu, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara kerajaan negeri dengan empat agensi dan jabatan lain.

Kerjasama tersebut dilakukan antara kerajaan negeri yang diwakili Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Samiun Salleh dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu diwakili pengarahnya, Shafruddin Ali Husin; Yayasan Terenggany diwakili pengarahnya, Mohamad Sulong; Majlis Sukan Negeri Terengganu diwakili pengarahnya, Ibni Amin Busu; Universiti Sultan Zainal Abidin diwakili Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Ahmad Zubaidi A. Latif dan Universiti Malaysia Terengganu diwakili naib canselornya, Prof Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata MoU tersebut dilakukan bagi menaikkan sukan berkuda di kalangan pelajar disamping memperkenalkan sukan berkuda di Terengganu.

Katanya, pihak kerajaan turut memohon dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk memberi pengiktirafan kepada Terengganu supaya dijadikan tempat utama bagi sukan kuda lasak.

“Kita mempunyai fasiliti lengkap untuk menganjurkan sukan berkuda lasak di Terengganu.

“Sebelum ini, kita pernah mengadakan kejohanan di peringkat antarabangsa. Jadi, satu permohonan telah dibuat supaya Terengganu dijadikan sebagai venue sukan kuda lasak bagi Kejohanan Sukan SEA,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Tabung Pembangunan Sukan Negeri Terengganu di Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.
Sumber : TK

No comments:

Post a Comment