Saturday, June 27, 2015

26 Atlet terima Skim Hadiah Kecermelangan.


Kerajaan negeri menyerahkan Skim Hadiah Kemenangan kepada Atlet Terenganu yang telah mengharumkan nama Malaysia pada kejohanan Sukan SEA ke-28 di Singapura.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ab Rashid Jusoh berkata seramai 26 orang atlet termasuk tiga jurulatih menerima Skim Hadiah Kemenangan dengan jumlah kesuluruhan RM59,500.

“Seramai 65 orang atlet dari Terengganu telah menyertai temasya Sukan SEA di Singapura baru-baru ini melibatkan 18 jenis sukan.

“Bagi atlet yang memenangi pingat emas individu masing-masing menerima RM4,000 manakala berpasukan RM2,500. Bagi pingat perak pula masing-masing membawa pulang RM3,000 (individu) dan RM2,000 (berpasukan) manakala gangsa RM2,000 (individu) dan RM1,500 (berpasukan),” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian insentif kepada atlet dan berbuka puasa yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.



Dalam majlis sama, Ab Rashid menerima sumbangan sebanyak RM132,500 dari kerajaan sebagai gantian perbelanjaan untuk atlet Terengganu sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Sementara itu, pesilat negara yang memenangi emas bagi kategori 60-65 kilogram, Siti Rahmah Mohamed Nasir amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan kepada atlet-atlet.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri atas insentif yang diberikan kepada kami sebagai atlet.

“Alhamdulillah. nampaknya, ada bonus sikitlah untuk hari raya tahun ini. Saya pun ada niat untuk bawa emak saya menunaikan umrah sebelum ini. Insya-Allah, mungkin lepas ni boleh bawa,” katanya.

Bagi pemenang dua emas acara kriterium dan lebuh raya lepas beramai-ramai dalam sukan berbasikal iaitu Harrif Saleh, imbuhan tersebut dianggap sebagai hadiah hari raya yang bermakna.

“Memang saya gembiralah dengan insentif ini. Harap ia dapat menguatkan semangat saya memberi yang terbaik dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang,” ujar beliau.

Bagi rakan sepasukannya yang juga jaguh pecut berbasikal negara, Anuar Manan, insentif tersebut menjadi perangsang untuk beliau terus berusaha memajukan diri dalam sukan berkenaan.

Baru mendirikan rumah tangga bulan lepas, Anuar yang memenangi pingat gangsa bagi acara lebuh raya lepas beramai-ramai terharu kerana segala usaha mereka selama ini sentiasa dihargai oleh kerajaan negeri.

“Buat masa ini, kami ambil keputusan untuk tidak mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan berbasikal sepanjang bulan puasa ini bagi memberi tumpuan kepada ibadah dan keluarga dan mungkin lepas raya baru sambung balik. Apapun, kami tetap berlatih seperti biasa pada waktu malam,” katanya

Sumber : Teganu Kita

No comments:

Post a Comment