Saturday, October 31, 2015

Selamat Tinggal Paulo Rangel.



Paulo Rangel sah tinggalkan Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan kontrak penyerang import, Paulo Rangel ditamatkan susulan persetujuan bersama dalam perbincangan yang diadakan, hari ini.

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman, berkata hasil rundingan antara persatuan dan Rangel mengambil pendekatan untuk menamatkan kontrak setahun lebih awal. Beliau berkata, kontrak Rangel bersama Terengganu sepatutnya berakhir tahun depan namun bersetuju untuk menamatkannya lebih awal.

“Hasil perjumpaan dan rundingan dengan Rangel bersama ejennya pagi tadi, kita bersetuju untuk menamatkan kontrak atas persetujuan bersama.

“Keputusan yang dibuat ini sekali gus menyelesaikan kemelut yang timbul sebelum ini,” katanya , di sini, hari ini.

Arpin berkata, pihaknya akan menyelesaikan gaji dan membiayai kos penerbangan pemain berusia 30 tahun itu untuk pulang ke negara asalnya, Brazil.

“Rangel meminta kita membeli tiket penerbangan pulang ke Brazil pada 5 November ini dan kita bersetuju membiayainya,” katanya.

Bekas penyerang Perak dan Selangor itu menyertai Terengganu selepas menandatangani kontrak pada November tahun lalu selama dua tahun sehingga 2016.

Sejak menyarung jersi Terengganu, Rangel menjaringkan 16 gol dengan lapan gol daripadanya dalam aksi Liga Super, enam Piala FA dan dua Piala Malaysia. -bh

No comments:

Post a Comment