Thursday, February 18, 2016

Terengganu Meterai Mou Pertingkatkan Sukan Berkuda



Bagi menggalakkan perkembangan sukan berkuda di Terengganu, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara kerajaan negeri dengan empat agensi dan jabatan lain.

Kerjasama tersebut dilakukan antara kerajaan negeri yang diwakili Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Samiun Salleh dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu diwakili pengarahnya, Shafruddin Ali Husin; Yayasan Terenggany diwakili pengarahnya, Mohamad Sulong; Majlis Sukan Negeri Terengganu diwakili pengarahnya, Ibni Amin Busu; Universiti Sultan Zainal Abidin diwakili Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Ahmad Zubaidi A. Latif dan Universiti Malaysia Terengganu diwakili naib canselornya, Prof Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata MoU tersebut dilakukan bagi menaikkan sukan berkuda di kalangan pelajar disamping memperkenalkan sukan berkuda di Terengganu.

Katanya, pihak kerajaan turut memohon dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk memberi pengiktirafan kepada Terengganu supaya dijadikan tempat utama bagi sukan kuda lasak.

“Kita mempunyai fasiliti lengkap untuk menganjurkan sukan berkuda lasak di Terengganu.

“Sebelum ini, kita pernah mengadakan kejohanan di peringkat antarabangsa. Jadi, satu permohonan telah dibuat supaya Terengganu dijadikan sebagai venue sukan kuda lasak bagi Kejohanan Sukan SEA,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Tabung Pembangunan Sukan Negeri Terengganu di Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.
Sumber : TK

Saturday, January 2, 2016

Litar Lumba 12.6 Juta Siap Akhir 2016.



Kerajaan negeri memperuntukkan RM12.6 juta bagi pembinaan litar lumba yang diiktiraf oleh Automobile Association of Malaysia (AAM), kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.

“Pembinaan litar yang lengkap ini akan boleh digunakan bagi mengawal aktiviti lumba ditempat yang tidak sepatutnya sekaligus mengatasi masalah sosial dan kadar kemalangan jalan raya.

“Pembinaan litar ini lengkap dengan komponen utama seperti litar Cub Prix, Sprint Test, Drift serta menara kawalan bagi kegunaan antarabangsa,” katanya.



Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Litar Lumba Permotoran di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Samiun Salleh, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Mohamad Kamil Othman dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik.

Pembinaan litar lumba tersebut dijangka akan siap sepenuhnya menjelang akhir 2016.
Sumber : TeganuKita

Saturday, October 31, 2015

Selamat Tinggal Paulo Rangel.



Paulo Rangel sah tinggalkan Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan kontrak penyerang import, Paulo Rangel ditamatkan susulan persetujuan bersama dalam perbincangan yang diadakan, hari ini.

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman, berkata hasil rundingan antara persatuan dan Rangel mengambil pendekatan untuk menamatkan kontrak setahun lebih awal. Beliau berkata, kontrak Rangel bersama Terengganu sepatutnya berakhir tahun depan namun bersetuju untuk menamatkannya lebih awal.

“Hasil perjumpaan dan rundingan dengan Rangel bersama ejennya pagi tadi, kita bersetuju untuk menamatkan kontrak atas persetujuan bersama.

“Keputusan yang dibuat ini sekali gus menyelesaikan kemelut yang timbul sebelum ini,” katanya , di sini, hari ini.

Arpin berkata, pihaknya akan menyelesaikan gaji dan membiayai kos penerbangan pemain berusia 30 tahun itu untuk pulang ke negara asalnya, Brazil.

“Rangel meminta kita membeli tiket penerbangan pulang ke Brazil pada 5 November ini dan kita bersetuju membiayainya,” katanya.

Bekas penyerang Perak dan Selangor itu menyertai Terengganu selepas menandatangani kontrak pada November tahun lalu selama dua tahun sehingga 2016.

Sejak menyarung jersi Terengganu, Rangel menjaringkan 16 gol dengan lapan gol daripadanya dalam aksi Liga Super, enam Piala FA dan dua Piala Malaysia. -bh

Monday, October 12, 2015

Kompleks Sukan Hulu Terengganu mula dibina.





Kompleks Sukan lengkap dengan pelbagai prasarana yang menelan belanja sehingga RM50 juta mula dibina di Hulu Terenganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Rozi Mamat berkata kompleks sukan pertama di bawah kerajaan negeri itu akan menyediakan infrastruktur lengkap kepada peminat sukan.

“Tender sudah diumumkan dan sekarang kerja-kerja permulaan telah dilakukan oleh kontraktor terlibat.

“Kompleks sukan yang dijangka siap tahun hadapan ini lengkap dengan padang bola, trek olahraga, padang hoki serta bowling padang. Manakala bagi ‘indoor’ pula ianya lengkap dengan gelanggang futsal, bola jaring dan juga badminton,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) di Green Acres Golf & Country Club Kuala Ibai, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Rusli Yusoff.

Pada majlis itu, Rajemah Syeikh Ahmad dinobatkatkan sebagai Tokoh ASUS dan membawa pulang RM2,000 serta trofi dan sijil.

Bagi Kategori Pemimpin Lelaki, Yusrisyam Ibrahim dipilih manakala Kategori Pemimpin Wanita pula, Nor Aida Che Husin diberi penghargaan menerima anugerah tersebut. Masing-masing membawa pulang RM2,000 berserta trofi dan sijil.

Kelab Gimnasium Rakyat Gimas Dungun pula memenangi tempat pertama dalam Kategori Persatuan Sukan sekaligus melayakkan mereka menerima wang tunai berjumlah RM5,000 berserta trofi dan sijil diikuti Persatuan Sukan & Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu (RM4,000 berserta trofi dan sijil) Persatuan Sepak Takraw Daerah Kuala Terengganu (RM3,000 berserta trofi dan sijil).

Sumber: Teganukita

    Wednesday, September 23, 2015

    Kerajaan Negeri Terengganu hadiahkan pemain THT Umrah dan 10 ribu.

    Ahmad Razif bergambar bersama Piala TNB dan Liga Premier TNB-MHL yang dimenangi pasukan THT.

    Kerajaan negeri Terengganu menghadiahkan pakej umrah dan wang tunai RM10 ribu kepada pemain dan pegawai pasukan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan lawatan luar negara kepada pemain bukan Islam susulan kejayaan mereka menjulang kejuaraan berganda Piala TNB dan Liga Premier TNB-MHL.

    Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ia sebagai penghargaan kepada THT yang telah mengharumkan nama negeri Terengganu dalam arena hoki tanah air buat 2 tahun berturut-turut.

    ‘Kerajaan negeri bersetuju memberikan wang tunai sebanyak RM10 ribu dan pakej umrah manakala bagi pemain bukan Islam diberikan lawatan ke luar negara yang mempunyai sama nilai dengan umrah’

    ‘Kos keseluruhan bagi ganjaran ini berjumlah lebih RM1 juta’.

    ‘Saya berharap pasukan THT terus berusaha mengekalkan kejuaraan ini pada musim depan’ katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita Terengganu Times selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman tengah hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Belia, Sukan Dan Sumber Manusia Dato’ Rozi Mamat, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Osman Muda, Presiden THT Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dan barisan pemain THT.Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) menerima insentif daripada kerajaan negeri Terengganu.

    Ahmad Razif berharap kejayaan yang dilakukan oleh pasukan THT ini menjadi pemangkin semangat dan dicontohi oleh persatuan sukan yang lain yang pada masa yang sama mampu menaikkan bidang sukan negeri Terengganu.

    Sementara itu, para pemain dan pegawai THT akan mengadakan lawatan ke London pada 29 September ini untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di sana.

    Sumber : Terengganu Times