Saturday, May 2, 2015

Bumbung Tetap Dibina di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin - YAB MB



Dengan kos baik pulih melibatkan hampir RM29 juta, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan mula digunakan bermula 16 Mei ini bagi perlawanan separuh akhir Piala FA antara pasukan Terengganu dan Lions XII apabila ia mendapat kelulusan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 7 Mei nanti.

Pembaikan stadium tersebut yang telah bermula pada November lalu membabitkan 16 kontraktor bagi mempercepatkan proses baik pulih akibat daripada bumbungnya telah roboh pada tahun 2009 selepas siap dibina pada 2008.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata walaupun ianya telahpun siap dibaiki bagi kegunaan perlawanan bola sepak, masih ada perkara yang bakal ditambah bagi keselasaan penonton.

“Saya masih menunggu reka bentuk bumbung daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk ditambah di bahagian enam dan tujuh dimana tempat tersebut akan dijadikan sebagai kawasan tempat duduk utama.

“Namun demikian, bumbung yang akan dicadangkan adalah tidak berat dan Stadium Nasional Bukit Jalil bakal dijadikan sebagai contoh bagi pembinaannya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas selesai Majlis Solat Hajat dan Tazkiran Perdana 2015 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusian Negeri, Dato’ Rozi Mamat.

Tambahnya, dengan adanya stadium tersebut, lebih ramai yang bakal menyaksikan perlawanan bola sepak disitu.

“Jika sebelum ini, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang digunakan bagi perlawanan bola sepak mempunyai kapasiti penonton kecil dan menyebabkan peminat bersesak-sesak bagi menyaksikan perlawanan.

“Dengan pembukaan semula stadium ini yang boleh memuatkan 34,000 orang, ianya akan memberi keselesaan kepada penonton yang turut ingin membawa keluarga bersama bagi menyaksikan perlawanan bola sepak,” katanya.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga bercadang memberi kemudahan kepada penaja yang telah membantu kepada pertumbuhan serta pembangunan sukan di negeri Terengganu.

“Papan-papan iklan penaja yang telah memberi bantuan terutama dari segi kewangan dalam menaikkan sukan di negeri ini bakal dinaikkan sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

“Disamping itu, dengan cara ini sekaligus dapat menarik penaja-penaja lain untuk turut menaja serta melabur bagi sukan di negeri ini kerana ianya dilihat sebagai satu situasi yang menguntungkan kesemua pihak,” katanya.

Pada majlis yang sama, Ahmad Razif turut menandatangani jersi gergasi pasukan Terengganu dan T-Team sambil disaksikan oleh pemain-pemain pasukan tersebut.

Sumber : TeganuKita

No comments:

Post a Comment