Sunday, November 9, 2014

Henti Sebar Gambar Arwah Rafiqin - Ayah ( Azman Othman)

En Azman Othman bersama YAB MB,YB Dato Rozi ketika operasi SAR baru baru ini.



KUALA BERANG – Bapa Ahmad Rafiqin Azman, 16, pelajar tingkatan empat yang maut selepas empat hari hilang ketika menyertai perlumbaan maraton di Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang, meminta orang ramai berhenti menyebarkan gambar dan cerita palsu mengenai anaknya di internet.

Azman Othman, 50, berkata, perbuatan begitu tidak menghormati sensitiviti dan menambah kesedihan beliau sekeluarga.

“Saya dapat maklumat ada gambar dan cerita tidak benar mengenainya disebarkan. Jadi, saya minta berhentilah sebar gambar dan cerita yang tidak benar mengenai arwah di laman sosial," katanya.
Beliau berkata, Ahmad Rafiqin seorang anak yang baik, hormat ibu bapa dan guru serta bijak.

"Jadi, saya mohon agar sebarang gambar yang mengarut, cerita dan khabar angin dihentikan serta-merta,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Menurut Azman, beliau sekeluarga telah menerima laporan saintifik dan maklumat sebenar mengenai kematian anaknya itu dan berharap tiada lagi spekulasi ditimbulkan berhubung kematian anaknya.

“Kami telahpun dapat maklumat sebenar daripada pihak hospital dan kami menerima bukti saintifik bahawa beliau meninggal dunia kerana lemas,” katanya.

Azman berterima kasih atas kerjasama semua pihak dalam usaha mencari anaknya itu.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa beri sokongan kepada saya dan keluarga dalam menghadapi saat sukar seperti ini. Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri dan setiap individu yang bersama di lokasi dalam misi mencari arah anak saya," katanya.

Azman berkata, beliau diberitahu usaha mencari bukan sahaja dari dalam Terengganu malah mereka dari luar negeri itu melalui doa dan solat hajat.

"Saya amat menghargai doa bagi kesejahteraan kami sekeluarga dan berharap agar arwah disemadikan dengan tenang dan ditempatkan bersama orang beriman,” katanya.

Berikutan kejadian itu kata Azman, dia sekeluarga telah memutuskan tiada lagi penglibatan ahli keluarga dalam aktiviti lasak bagi mengelak perkara sama berulang.

“Kita sudah buat ketetapan dalam keluarga, kalau boleh tidak ada lagi penglibatan (anggota keluarga) dalam acara lasak. Tragedi boleh berlaku bila-bila masa tanpa diduga," katanya.

Sumber : SH

No comments:

Post a Comment