Wednesday, December 17, 2014

Terengganu bakal bina Akademi Sukan Negeri.





Kerajaan negeri bercadang mahu membina sebuah Akademi Sukan Negeri yang bakal malahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi seiring dengan kemajuan sukan yang berlaku di Terengganu. Menteri Besar Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata akademi berkenaan merupakan akademi pertama diwujudkan dan Terengganu mahu menjadi perintis akademi itu di Malaysia .

“Terengganu merupakan negeri yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang pelajaran malahan hebat dalam bidang sukan dan telah menjadi contoh kepada negeri lain untuk mempelajari perkara sama”. Beliau berkata demikian ketika Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu (AST) 2013/2014 di Wisma Darul Iman malam tadi.

“Dengan adanya akademi sukan ini, kebajikan atlet akan lebih terjaga dan mempunyai masa depan yang cerah. Sukan akan menjadi kerjaya mereka di masa depan, kita turut mengutamakan bidang pelajaran dan kerajaan akan memberi biasiswa kepada 10 atlet terbaik untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat PHD di universiti.

“Kerajaan negeri akan terus memperkasa sukan kerana rakyat Terengganu amat berbakat dalam bidang ini dan telah banyak menyumbang jasa kepada negara melalui beberapa acara sukan popular seperti angkat berat, basikal dan sebagainya.

Ahmad Razif berucap di Majlis Anugerah Sukan Negeri Sukan Terengganu 2014.



Pasukan Terengganu hockey Team (THT) dianugerahkan Pasukan Paling Berjaya dalam Anugerah Sukan Terengganu 2013/2014 malam tadi.

YAB MB Dato Ahmad Razif Abd Rahman menyampaikan trofi Olahragawan kepada Badang Terengganu Mohd Hafifi Mansor.




Ratu lumba basikal negara Fatehah Mustapha pertahan gelaran Olahragawati Terengganu tiga kali berturut-turut.


Sementara itu, Badang Terengganu Mohd Hafifi Mansor dan ratu lumba basikal negara Fatehah Mustapa menepati ramalan selepas meraih gelaran Olahragawan dan Olahragawati Terengganu bagi edisi 2013/2014. Hafifi yang cemerlang dalam Sukan Komanwel dengan berjaya mendapat pingat emas yang merupakan anak Terengganu pertama meraih pingat emas dalam sejarah sukan komanwel. Bagi Fatehah pula beliau telah menghadiahkan pingat perak kepada negara di Sukan Asia Incheon tahun ini dan anugerah ini adalah kali ketiga berturut-turut.

Bagi pasukan Terengganu Hockey Team (THT) pula dinobatkan sebagai Pasukan Paling Berjaya selepas menjadi juara berganda Liga Premier MHL dan Piala TNB 2014. Ahmad Razif telah mengumumkan insentif kepada setiap pemain dan pegawai akan menerima wang tunai RM8000 setiap seorang dan pakej melancong sambil mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan terkemuka di Eropah.

Bagi anugerah lain pula Pasukan Perahu Layar Optimist dipilih sebagai anugerah Berpasukan Terbaik Lelaki dan kategori wanita pula dimenangi oleh pasukan olahraga 4 x 500M Sukma 2014. Harith Ammar Sobri dari acara Olahraga dipilih Olahragawan Harapan Lelaki manakala Siti Nur Afiqah Abdul Razak meraih gelaran Olahragawati Harapan juga dari acara olahraga.

Ahmad Razif juga berharap sukan-sukan popular lain seperti bola sepak dapat memberi kejayaan sama seperti sukan lain kerana sukan ini masih belum menunjukkan prestasi terbaik dan beliau percaya dengan semangat, potensi dan strategi yang menjadi bola sepak bakal menunjukkan prestasi membanggakan pada musim depan. Beliau turut mahu kontinjen Sukma Terengganu berusaha lebih lagi bagi merampas gelaran juara sukan dwitahunan itu kerana negeri kita pernah menjuarai Sukma 4 tahun berturut-turut bagi edisi sebelum ini.

Sumber : TT.

No comments:

Post a Comment