Thursday, October 9, 2014

Skim Khas Atlet Terengganu sambung Pendidikan di IPT.






Atlet Terengganu yang cemerlang dalam bidang sukan berpeluang untuk melanjutkan pengajian mereka ke universiti tempatan menerusi skim insentif baru diperkenalkan Kerajaan Negeri bermula tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, skim khas berbentuk biasiswa pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) itu merupakan salah satu pengiktirafan daripada kerajaan negeri kepada atlet yang telah mengharumkan nama negeri dan negara dalam bidang sukan selain insentif yang disediakan sebelum ini.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah dalam menyediakan insentif kepada mereka yang cemerlang di dalam bidang sukan dan mengharap ia mampu menjadi pemangkin dalam melakarkan kejayaan pada masa akan datang.

“Saya sudah meminta Dato’ Rozi (Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri) dapat berbincang dengan pihak Yayasan Terengganu untuk kita mengadakan skim ini khususnya bagi atlet lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan.

“Kita berharap dengan skim insentif baru ini sedikit sebanyak mampu menyuntik semangat mereka seterusnya menjadi contoh buat atlet-atlet baru di negeri ini untuk meraih kejayaan dalam setiap kejohanan disertai mereka,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif kepada Kontinjen Paralimpiad Terengganu yang berjaya meraih gelaran naib juara pada Kejohanan Paralimpiad 2014 di Perlis Ogos lalu dan kejayaan skuad Hoki Terengganu muncul juara division 2 Piala Razak , di kediaman Seri Iman, semalam.

Pada majlis itu Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM143,000 kepada atlet yang cemerlang di Sukan Paralimpiad 2014 dengan pemenang pingat emas menerima wang tunai RM3,000, perak RM2,000 dan gangsa RM1,000, manakala Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu menerima insentif pengurusan sebanyak RM50,000.

Bagi pasukan hoki Terengganu pula, selain hadiah wang tunai mereka turut berpeluang mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara dan Persatuan Hoki Terengganu menerima insentif pengurusan sebanyak RM25,000.

Mengulas skim biasiswa kepada atlet itu, Ahmad Razif berkata, mereka yang terpilih nanti bakal melanjutkan pengajian di dalam bidang sukan yang secara tidak langsung menjadikan atlet Terengganu bukan sahaja hebat dalam sukan tetapi dapat turut mencipta kejayaan di peringkat pendidikan.

Katanya, selepas menamatkan pengajian nanti, mereka ini akan ditempatkan di jabatan-jabatan sukan di Terengganu bagi membantu pembangunan sukan di negeri ini.

“Ini merupakan salah satu program Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang sedang kita laksanakan. Mungkin pada masa akan datang kita akan pastikan pelajar-pelajar yang kita taja ini mampu memberi sumbangan kepada negeri.

“Selain itu, atlet-atlet kita yang cemerlang di peringkat sekolah juga akan disalurkan skim biasiswa ini dibawah peruntukan Yayasan Terengganu,” katanya

Sumber Teganukita

No comments:

Post a Comment