Friday, January 2, 2015

Skuad Bencana Terengganu Dilancar.



Skuad Sukarelawan Negeri Terengganu (SSNT) diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata melalui skuad ini ianya akan dapat mengubah persepsi orang luar terhadap belia.

“Dengan pengiktirafan SSNT, kita dapat mengubah persepsi yang mengatakan orang muda tidak suka membantu walhal mereka sebenarnya tidak diberi peluang.

“Kita akan menambah baik serta memperkemaskan lagi skuad yang ditubuhkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat seperti menyediakan uniform kepada mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok II, Kemaman selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Sukarelawan Negeri Terengganu.




Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Halina Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat, serta ADUN Air Putih, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

Ahmad Razif juga berkata ahli SSNT akan diberi latihan khusus dalam menghadapi musibah untuk memudahkan mereka mengendalikannya.

“Kita akan meminta pertolongan dari agensi-agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk memberi kemahiran kepada mereka.

“Sukarelawan ini nanti akan diletakkan di bawah kluster tertentu supaya mereka tahu apa keperluan mereka nanti,” katanya lagi.






Tambah beliau, SSNT turut akan dihantar ke luar negeri dalam membantu mangsa banjir di kawasan yang turut terjejas.

“Apabila semua di Terengganu selesai, Insyaallah sukarelawan ini nanti akan dihantar ke Kelantan untuk membantu operasi pembersihan di sana,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment