Friday, June 21, 2013

TERENGGANU KECEWA SUKAN BERKUDA ENDURANCE DIBATALKAN

KONTIJEN Terengganu melahirkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) kerana membatalkan acara sukan berkuda Endurance pada Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di Bukit Jalil bermula 28 Jun hingga 7 Julai.
   
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Rozi Mamat berkata pada asalnya sukan berkuda itu memang ada dalam jadual untuk dipertandingkan di Sukma, tetapi ia dibatalkan pada saat akhir.
   
"Saya rasa perkara ini tidak patut berlaku kerana kita telah membuat persediaan dari awal lagi. Kalau kenu dan berbasikal tidak dipertandingkan, tidak mengapa kerana ia dimaklumkan lebih awal. Tetapi Endurance dimaklumkan pada saat-saat akhir berikutan penarikan diri beberapa pasukan lain.  
"Bagi Terengganu ini merupakan satu beban kerana kita telah bersedia untuk sukan Endurance dengan mengambil masa yang panjang dan melibatkan perbelanjaan jutaan ringgit.
   
"Orang tahu komitmen Terengganu dalam sukan ini (berkuda) dengan program pembangunan bukan sahaja untuk Terengganu, malah menyumbang untuk negara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera Terengganu kepada Ketua Kontinjen Sukma Mohamad Kamil Othman di sini.  

Rozi berharap MSN perlu menyediakan garis panduan yang jelas dan betul yang boleh diikuti oleh badan-badan sukan di peringkat negeri kerana pembangunan apa jua jenis sukan dilaksanakan di peringkat negeri.  
"Yang menjadi masalah bukan pingat walaupun pingat yang menjadi keutamaan kontinjen, tetapi kita mengambil masa bertahun-tahun menyediakan atlet dengan menghantar mereka menyertai kejohanan luar negara, beli peralatan-peralatan selain kuda-kuda dari luar negara dengan menelan belanja yang besar.
   
"Bukan kita nak persoal MSN, tetapi ia kena beri penjelasan dari awal,kalau tak nak main, tak apa... kerana menyediakan atlet bukan ambil masa dua tiga bulan, malah sepanjang masa," katanya.
   
Beliau berkata MSN harus bertegas mengenai perkara ini supaya ia tidak berulang kepada negeri lain pada masa depan.
   
"Ini sukan berkuda, mungkin pada masa akan datang ada lagi sukan-sukan lain yang orang tarik diri dan dibenarkan oleh MSN yang sepatutnya tidak berlaku,"katanya.
   
Katanya dalam sukan Endurance, skuad Terengganu mempunyai enam pemain yang dijangka mampu meraih dua emas. - Bernama

No comments:

Post a Comment