Friday, June 21, 2013

TERENGGANU SASAR 30 PINGAT EMAS DAN OPTIMIS MENGEKALKAN KEJUARAAN


TERENGGANU optimis untuk muncul juara Sukan Malaysia (Sukma) kali kelima berturut-turut sekalipun edisi kali ini tidak mempertandingkan beberapa acara yang mampu menghasilkan pingat kepada kontinjen negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri Rozi Mamat berkata tanpa sukan berbasikal dan kenu, Terengganu masih mampu meraih emasdalam acara sukan lain seperti judo, mendayung dan acara baharu muay thai.
"Pada kejohanan Sukma yang akan bermula dari 28 Jun hingga 7 Julai di Kompleks Sukan Bukit Jalil ini kita menyasarkan 30 pingat emas yang mampu menjadikan Terengganu juara Sukma kali kelima berturut-turut," katanya pada sidang media di sini semalam.
Beliau sebelum itu menyerahkan bendera negeri kepada ketua kontinjen Mohamad Kamil Othman.
Menurut Rozi, Terengganu menghantar 348 atlet dan pegawai yang akan terbabit dalam 17 acara sukan daripada 20 yang dipertandingkan.
Tiga acara yang tidak disertai ialah polo air dan renang berirama, bola keranjang, dan ping pong.
"Kita bukan tidak ada atlet untuk acara-acara itu, tetapi atlet kita masih belum sampai tahap untuk kejohanan kali ini," katanya menambah atlet terbabit diharap dapat  mewakili Terengganu dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
Katanya pada Sukma kali ini, Terengganu mengekalkan lebih 60 peratus atletnya yang bertanding pada Sukma edisi ke-15 di Pahang tahun lalu.- Bernama

No comments:

Post a Comment