Wednesday, July 23, 2014

Komitmen Kerajaan Untuk Perkasa Bidang Sukan - MB





Kerajaan negeri berjanji untuk terus memberi komitmen padu bagi memperkasakan bidang sukan berikutan kesannya yang amat besar dalam memajukan sektor pelancongan dan meningkatkan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, prestasi negeri yang semakin baik di bidang itu menyebabkan Terengganu kian dikenali, sekali gus mendorong kepada kemajuan industri pelancongan.

“Bidang sukan juga membolehkan banyak perkara yang dapat diketengahkan mengenai Terengganu. Dengan adanya pulau-pulau, Tasik Kenyir yang sedang dipromosi, Bandar Kuala Terengganu dan bandar-bandar di daerah yang lain sudah tentu memberi ruang dan peluang untuk kita memikirkan apakah pembangunan yang perlu kita laksanakan seiring dengan kehebatan sukan yang sedang berlaku di Terengganu,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Malaysia (Sukma) Ke- 17 Perlis di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri,Dato Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat dan timbalan pengerusinya,Mohd Mahdi Musa yang juga Ketua Kontinjen Sukma Terengganu kali ini.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan merangka pelbagai peluang menerusi kegemilangan bidang sukan supaya mampu menggerakkan ekonomi dan menghasilkan pulangan yang baik kepada rakyat.

“Secara tidak langsung rakyat di Terengganu mendapat manfaat terutama peniaga kerana dari situ akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Lebih-lebih lagi apabila anak Terengganu mendapat tempat dalam pelbagai peluang dan peringkat sudah pasti orang luar tidak akan pandang rendah serta remeh terhadap keupayaan orang Terengganu,” katanya.



Menurutnya, prestasi baik Terengganu di bidang sukan juga mendapat pujian pemimpin tertinggi negeri, Perdana Menteri Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Malah, Ahmad Razif berkata pemimpin negara itu juga kagum dan berbangga dengan komitmen anak Terengganu yang terbukti sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meraih kejayaan bukan sahaja di bidang sukan,malah juga di bidang-bidang lain.

Katanya, sebagai mengiktiraf jasa dan komitmen setiap anak Terengganu, maka majlis penyerahan insentif berkenaan amat wajar dan tepat pada landasannya.

Tambah beliau, setiap anugerah dan inisiatif yang disediakan itu juga akan terus dinilai dari semasa ke semasa sebagai suntikan semangat supaya anak Terengganu akan bekerja lebih gigih untuk mencapai sasaran itu.

Di majlis itu, kerajaan membelanjakan keseluruhan RM1,575,000 bagi mengagihkan insentif Sukma 2014 Perlis kepada 79 atlet yang meraih pingat emas, 84 atlet (pingat perak) dan 54 (pingat gangsa).

Setiap pemenang emas memperolehi RM5,000, perak (RM3,000) dan pingat gangsa (RM2,000).

Jumlah insentif itu juga melibatkan imbuhan kepada dua rekod kebangsaan,tiga rekod Sukma, 119 pengurus dan jurulatih serta 15 persatuan sukan negeri.

Sumber TK. 

No comments:

Post a Comment