Tuesday, July 22, 2014

Terengganu Agih Insentif Sukma RM 1,575,000



Kerajaan negeri menunaikan janji kepada atlet yang meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perlis bulan lalu, apabila mengagihkan insentif berjumlah RM1,575,000 di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukma Ke-17 Perlis di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman sebelum ini mengumumkan untuk menyerahkan imbuhan itu kepada atlet yang memenangi sekurang-kurangnya pingat gangsa sebelum menjelang Aidilfitri selepas mesyuarat mingguan Exco, 9 Julai lalu.

Beliau turun padang bagi menyampaikan imbuhan berkenaan kepada semua pemenang sebelum menyertai majlis berbuka puasa bersama pegawai, atlet, pengurus dan jurulatih sukan.



Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri,Dato Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat dan timbalan pengerusinya,Mohd Mahdi Musa yang juga Ketua Kontinjen Sukma Terengganu kali ini.

Insentif berkenaan diagihkan kepada 177 atlet yang melibatkan 79 pemenang pingat emas, 84 (pingat perak) dan 54 (pingat gangsa) dengan masing-masing memperolehi RM5,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

Jumlah insentif itu juga melibatkan imbuhan kepada empat atlet yang mencipta dua rekod kebangsaan (RM9,000),12 atlet yang menghasilkan tiga rekod Sukma (RM17,000), 119 pengurus dan jurulatih (RM448,000) serta 15 persatuan sukan negeri (RM75,000).

Di majlis itu, atlet kanu, Nor Azita Ibrahim, 18, muncul penerima insentif tertinggi berikutan kejayaannnya membolot semua pingat emas dari tujuh acara yang disertai sepanjang temasya yang lalu.

Dalam temasya Sukma lalu, Terengganu terpaksa akur sebagai naib juara dengan pungutan 51 pingat emas, 55 pingat perak dan 31 pingat gangsa di belakang juara keseluruhan Wilayah Persekutuan yang mengumpul 55 pingat emas, 38 pingat perak dan 49 pingat gangsa.

Sumber TK

    No comments:

    Post a Comment