Tuesday, July 15, 2014

MB Tekad Kukuhkan Umno Terengganu.




Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berjanji akan terus berusaha mengukuhkan kedudukan parti itu sebagai teras utama dalam Barisan Nasional.

Justeru, beliau bertekad memberikan komitmen yang tinggi supaya UMNO terus diterima dalam setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan usia.

“Saya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kepimpinan parti di setiap peringkat termasuk akar umbi bagi merealisasikan hasrat ini.

“Sebab itulah angka 14 cukup penting buat saya. Saya dilantik Menteri Besar Terengganu ke-14 pada tahun 2014 menuju pilihan raya umum ke-14,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Masjid Tengkawang, Telemong, Hulu Terengganu semalam.



Majlis itu turut dihadiri isteri Menteri Besar, To’ Puan Halina Zakaria; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Jailani Johari; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Rozi Mamat; Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik.

Hadir sama, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Mas Ermieyati Samsuddin; Ketua Wanita UMNO negeri, Dato’ Fatimah Hamat; Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Johari Abu Bakar dan Ketua Puteri UMNO negeri, Rozita Ismail.

Tambah Ahmad Razif, perpaduan dalam parti perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan lebih banyak kejayaan dapat dicapai dalam usaha memantapkan UMNO.

“Kalau ada permuafakatan kita akan sentiasa padu dan berjaya dalam perjuangan dan juga berjaya pada pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.



Pada majlis itu, Menteri Besar turut meraikan 36 orang mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah itu serta menyampaikan bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada 30 orang penerima bernilai RM40,000 setiap seorang.

Selepas menunaikan Solat Maghrib di masjid tersebut, Ahmad Razif serta kenamaan lain menunaikan Solat Isyak dan Terawih di Masjid Kampung Teris, Telemong.

Sumber: TK

No comments:

Post a Comment