Wednesday, November 26, 2014

TPM Garis 7 Langkah Zahirkan Hasrat Orang Muda.






KUALA LUMPUR, 25 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan tujuh langkah pembaharuan yang perlu dilaksanakan bagi menzahirkan hasrat dan harapan orang muda terhadap UMNO.

Muhyiddin berkata beliau agak bimbang apabila UMNO kini dilihat hanya bertahan di kampung-kampung, tetapi semakin hilang sokongan masyarakat Bandar yang lebih bersikap terbuka.

“Hari ini, parti kita sedang menyongsong perubahan, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada rekod sumbangan kita pada masa lalu.

“Izinkan saya berkongsi pandangan mereka (orang muda) dengan saudara dan saudari pada malam ini. Pertama, mereka kata UMNO sedang mengalami deficit kepercayaan; kedua, UMNO ini parti feudal.

“Ketiga, dalam UMNO ada budaya ‘play safe’ dan budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh ‘warlord'; dan kelima, UMNO diancam budaya ugut dan budaya tabur, ini kata mereka,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini malam ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata langkah pertama yang dicadangkannya ialah UMNO perlu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan menjadi peneraju pemikiran di dalam masyarakat.

“Pemimpin muda yang ada idealisme, ada wibawa dan berani bersuara perlu diketengahkan untuk menjuarai isu-isu rakyat, menjadi jurucakap parti, bukan diketepikan oleh parti,” katanya.

Langkah kedua ialah UMNO perlu melakukan pencarian bakat dengan menyediakan platform untuk orang muda daripada golongan profesional, intelektual, agamawan, dan aktivis sosial untuk bergerak aktif dalam parti.

“Platform ini perlu diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan bahagian. Contohnya, mereka yang berbakat boleh dilantik ke unit-unit tertentu di dalam parti dan diberi peranan untuk menyumbang kepada parti,” katanya.

Muhyiddin berkata langkah ketiga ialah UMNO harus mewujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan yang tersusun untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang bijak, petah dan tangkas berhujah serta teguh daya rohaninya.

Langkah kempat, parti itu perlu menyemarakkan semangat kesukarelawanan melalui program-program bersama rakyat.



“Pecahkan tembok pemisah antara parti dan rakyat menerusi kerja-kerja sukarela. Dekati rakyat, dengar rintihan mereka, fahami masalah mereka.

“Tanya diri kita, berapa ramai daripada kita yang sentiasa mendekati rakyat dan disayangi oleh rakyat. Manfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, khususnya media sosial, untuk sentiasa mendekati dan memenangi hati golongan muda,” katanya.

Langkah kelima, UMNO perlu mewujudkan institusi naziran untuk memantau setiap bahagian dan cawangan.

“Satu Jabatan Naziran perlu diwujudkan di dalam UMNO dipertanggungjawabkan untuk melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Tertinggi mengenai keberkesanan program-program yang dilaksanakan oleh parti,” katanya.

Langkah keenam, Muhyiddin berkata UMNO harus melakukan gerakan revolusi mental yang baharu dalam mencerna idea untuk menangani cabaran perubahan zaman dalam bidang ekonomi, politik, agama, hubungan kaum, teknologi dan lain-lain.

“Mungkin kita boleh namakan Revolusi Mental 2.0, sepertimana yang diungkapkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dalam pendahuluan buku Revolusi Mental, antara sebab kemunduran bangsa Melayu ialah pemikiran terkebelakang yang disebabkan oleh kekurangan ilmu dan cara hidup yang lama,” katanya.

Menyentuh langkah terakhir, beliau berkata parti itu harus bangkit menggerakkan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Gerakan pendaftaran pengundi baharu mesti dibuat dengan lebih bersungguh-sungguh. Jangan buat sambil lewa. Jangan buat sekadar melepas batuk di tangga kata orang.

“Sasaran gerakan ini wajib dimulai dengan memastikan semua ahli UMNO yang layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi,” katanya.

No comments:

Post a Comment