Thursday, January 22, 2015

Kg Kuala Ping Bakal Dibangunkan sebagai Bandar Baru ( Pembangunan Transformasi Telemong Baru -Bandar Lestari)





HULU TERENGGANU – Kampung Kuala Ping di Dun Telemong di sini akan dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan desa dan dijadikan bandar baharu bagi menjana ekonomi penduduk setempat menjelang 2018.

Adun Telemong, Dato' Rozi Mamat berkata bandar baharu berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam termasuk 300 unit rumah kos rendah, lot-lot kedai yang dibentuk secara berpusat, stesen bas, pasar tani moden serta kemudahan sukan.

Beliau berkata pembangunan bandar baharu di Kuala Ping ini telah dirancang secara rapi lebih 10 tahun lalu dan pembinaanya diharap bermula tahun ini melalui bajet kerajaan negeri dan pusat.

“Untuk perumahan kita telah mendapat bajet dari Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam RM35 juta dan untuk pembangunan fasiliti sukan kita mendapat bajet dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM6 juta” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelepasan Misi Bantuan Banjir Skuad Sukarelawan Sekreteriat Rakan Siswa Hulu Terengganu (Serasi) ke Dabong di sini hari ini.





Menurutnya untuk membina lot kedai pihaknya mendapat peruntukan dari kerajaan negeri sebanyak RM10 juta dan keseluruhan bajet untuk pembangunan tahun ini dijangka berjumlah RM50 juta.

“Insya-ALLAH, kita akan lancarkan pembangunan bandar ini pada tahun ini dan kita jangkakan dua hingga tiga tahun lagi akan dapat membentuk sebuah bandar baharu yang lengkap untuk kemudahan penduduk,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment