Sunday, March 22, 2015

1500 KELUARGA MANGSA BANJIR DAPAT BANTUAN BSMM .


Kira-kira 1,500 orang penerima menerima bantuan Pasca Banjir Pantai Timur di bawah Program 3K (Kebersihan,Kesihatan dan Kesejahteraan) Bulan Sabit Merah Malaysia(BSMM) dengan kerjasama Syarikat Electrolux Malaysia.

Penerima daripada 27 buah kampung di Dewan Undangan Negeri Telemong serta Daerah Setiu menerima bantuan kit banjir, barangan dapur dan wang tunai bernilai hampir RM400 seorang sebagai tanda keprihatinan terhadap penderitaan mangsa menempuhi bencana banjir baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan BSMM, Datuk Wira Dr Bahari Datuk Abu Mansor, berkata sehingga kini bantuan pihak-pihak korporat untuk diberikan kepada mangsa banjir masih diterima oleh BSMM.

Katanya, BSMM juga sedang mengenal pasti dua kampung angkat di Hulu Terengganu untuk dibantu dalam program bantuan pasca banjir, selain itu program BSMM ini mensasarkan komuniti yang tinggal di kawasan berisiko tinggi dilanda banjir.

“Kami buat penilaian ini berdasarkan kaedah yang dibuat di negara lain yang menghadapi masalah banjir yang kita dapat pada waktu ini. Kami harap projek ini dapat diselesaikan dalam tempoh setahun ke dua tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Perasmian 3K BSMM di Masjid Tengkawang Telemong, Hulu Terengganu, semalam.

Turut hadir, pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat, Pengarah Pemasaran Elektrolux (M) Sdn Bhd, Cik Wendy Ho dan Pengerusi BSMM Cawangan Terengganu, Dato Hj Adzlan Mohd Dagang.

Menurut Bahari, program itu juga bertujuan untuk mendidik budaya yang peka terhadap keselamatan dan keselamatan diri serta bersedia untuk berdepan krisis bencana.

No comments:

Post a Comment