Wednesday, March 11, 2015

KOMEN ISU PADANG LATIHAN SKUAD TERENGGANU.





KUALA TERENGGANU – Ketiadaan padang latihan bukan faktor utama kegagalan pasukan Terengganu dalam mengutip mata penuh pada aksi keempat saingan Liga Super bertemu Angkatan Tentera Malaysia apabila meraih keputusan seri 2-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat menyifatkan, skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim gagal memanfaatkan peluang terhidang sepanjang perlawanan itu, selain membuka peluang kepada ATM untuk meraih jaringan penyamaan di penghujung permainan.

Menurutnya, soal peralihan lokasi latihan kepada padang rumput tiruan tidak timbul, sebaliknya perkara itu hanyalah faktor sampingan memandangkan pihaknya sebelum ini meminta Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyediakan kemudahan padang di Kompleks Sukan Gong Badak untuk skuad Penyu menjalani latihan.

“Kita ada banyak padang di Kompleks Sukan Gong Badak dan mereka (PBSNT) perlulah membuat jadual mengikut kesesuaian sesi latihan yang diperlukan. Sebelum ini, saya difahamkan mereka menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Tetapi disebabkan kerja baik pulih sudah memasuki fasa terakhir, mereka perlu beralih ke lokasi lain. Kita masih ada banyak lagi padang di sekitar Kuala Terengganu termasuklah di padang astaka, Marang.

“Jadi, pihak pengurusan dan kejurulatihan perlulah lebih peka terhadap keperluan semasa pasukan untuk menjalani latihan,” katanya, semalam.
Pemain Terengganu menjalani latihan di padang tiruan di Kompleks Sukan Gong Badak.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ketua jurulatih skuad Penyu, Abdul Rahman Ibrahim yang menyifatkan ketiadaan padang latihan dan terpaksa menjalani latihan di padang rumput tiruan sejak seminggu lalu menyebabkan pemain kepenatan, sekali gus gagal mempamerkan aksi cemerlang sehingga tamat perlawanan.

Katanya, latihan di padang tiruan sememangnya memerlukan banyak tenaga dan kebanyakan pemain hanya boleh bermain mencapai tahap 60 hingga 70 minit, disebabkan faktor kepenatan selepas seminggu menjalani latihan di padang tiruan.

Mengulas lanjut perlawanan kelmarin, Rozi yang turut menyaksikan perlawanan itu mengakui, corak permainan skuad Penyu semakin membanggakan, tetapi masih ada beberapa ruang perlu diperbaiki dengan segera memandangkan saingan masih panjang dan peluang untuk memperbaiki kedudukan dalam liga tampak kian cerah. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment