Tuesday, March 10, 2015

ADIQ HUSAINIE SAMBAR JERSI PUTIH.



SUNGAI PETANI - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Adiq Husainie Othman mempamerkan ta­ringnya dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 semalam dengan muncul selaku pelumba terbaik Asia manakala manakala pendahulu keseluruhan kekal milik Andrea Guardini selepas tamat peringkat kedua semalam.

Adiq Husainie merampas jersi putih yang disarung oleh Ma Guantong dari pasukan China, Hengxiang Cycling Team setelah dia muncul pelumba ketiga melepasi garisan penamat perlumbaan dari Alor Setar ke Sungai Petani.

Guardini dari pasukan Astana Pro Team muncul juara peringkat buat kali kedua berturut-turut, manakala pelumba Orica Greenedge, Caleb Ewan menamatkan perlumbaan sejauh 185 kilometer itu terus meng­ekori di tempat kedua.

Perancangan Adiq Husainie, 24, dalam perlumbaan berprestij Asia edisi ke-20 itu nampaknya berhasil semalam walaupun dia terjatuh kira-kira 400 meter dari garisan penamat untuk mengumpul masa keseluruhan 6 jam 49 minit 35 saat.

“Saya memang nak sangat sarung jersi putih, saya berusaha melakukan kayuhan terbaik bagi memastikannya menjadi milik saya hari ini.

“Kejayaan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk perlumbaan peringkat ketiga esok (hari ini) dan saya akan cuba mempertahankannya sedaya upaya...kalau boleh sampai ke Terengganu,” kata bekas pelumba terbaik Malaysia itu sejurus menamatkan saingan.

Ditanya apakah ramuan sehinggakan penampilan TSG kali ini tampak garang, anak jati Terengganu itu berkata, rahsianya adalah perubahan dari segi taktikal yang dapat dirasai setelah menjalani latihan di Chiangmai, Thailand selama empat bulan sebagai persediaan untuk LTdL.

“Pengurus dan jurulatih pasukan memang memberi tumpuan sepenuhnya untuk menghadapi saingan kali ini. Segalanya tersusun cantik.

“Hasilnya sangat berbeza berbanding tahun lepas dan kita boleh lihat sendiri hasilnya pada hari ini dan semalam.

“Tambah lagi sebelum ini kita menyertai Jelajah Filipina dan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat. Di situ kami mula mempelajari sesuatu,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya LTdL kali ini seharusnya akan memberi kelebihan kepada pelumba tempatan untuk menyerlah pada akhir perlumbaan kelak kerana ketiadaan laluan menuju ke Genting Highlands, yang sebelum ini di­letakkan sebagai peringkat kedua terakhir.

“Laluan ke Bukit Fraser tidak susah seperti ke Genting Highlands dan ini baik untuk saya. Pasukan saya juga berpeluang dengan laluan baharu ini.

“Malah, ini akan menjadikan peluang kita untuk menang semakin cerah, dengan ketiadaan pelumba dari Iran dan mencerahkan hasrat saya untuk mengekalkan jersi putih ini,” katanya.

Sumber : Utusan online

No comments:

Post a Comment