Sunday, March 8, 2015

Industri Perkayuan Terengganu menyediakan 5000 peluang pekerjaan.



Eskport produk kayu di Terengganu mencecah RM 70 juta setahun, dengan 50 peratus daripadanya disumbangkan oleh kayu gergaji diikuti kayu kumai dan kayu berketam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat berkata, perkembangan secara purata dalam tempoh 10 tahun itu sekali gus membolehkan industri perkayuan Terengganu menyediakan 5,000 peluang pekerjaan buat rakyat tempatan.

Beliau menambah, ketika ini sektor itu didominasi oleh beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) di bawah Golden Pharos Berhad.

“Oleh itu, saya ingin mencadangkan Golden Pharos dapat melihat semula potensi industri kayu agar lebih memfokuskan kepada kekuatan yang ada di negeri ini. Salah satu sektor yang boleh ditekankan adalah aplikasi kayu berkejuruteraan tinggi seperti yang terdapat di negara maju.

“Ini merupakan satu landasan bagi Golden Pharos untuk menerokai bidang ini disamping lain-lain produk kejuruteraan,” katanya ketika berucap dalam majlis pra-pelancaran Pameran Perkayuan Antarabangsa Terengganu (TINTS) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Khas Kepada Menteri Besar, Mohammad Yusof.

Hadir sama, Ketua Pengarah MTIB, Dr. Jalaluddin Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Wan Mohd Rubi Wan Jusoh.

Sementara itu, Rozi berkata, terdapat sebanyak 93 buah syarikat dan 53 daripadanya adalah syarikat yang berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sama ada sebagai pembekal atau pengeksport kayu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penganjuran TINTS kali kedua yang dijadualkan pada 22 hingga 25 Oktober depan, Rozi berharap inisatif tersebut mampu menarik peserta dan pengunjung daripada negeri jiran termasuk dari Kelantan serta Pahang, seterusnya negara luar.

Pameran selama empat hari itu merupakan anjuran bersama Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC), MTIB dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pada penganjuran tahun lalu, TINTS mencatatkan jumlah pengunjung seramai 30,000 orang serta jualan produk hampir RM1 juta.

Sumber : Teganukita.my

No comments:

Post a Comment