
Seramai 750 peserta membabitkan masyarakat tempatan mengambil bahagian bagi memeriahkan lagi aktiviti menghasilkan makanan tradisi itu sempena Pesta Pekan Budaya, Hulu Terengganu.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Nazri Tan Seri Abdul Aziz berkata, program itu harus diteruskan bagi memastikan kesinambungan pembuatan emping terus dipelihara.
“Saya terharu melihat kesungguhan Jawatatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sanggup menyumbangkan 150 lesung bagi menjayakan program.
“Ia penting kerana kebanyakan generasi masa kini tidak tahu bagaimana emping dihasilkan. Dengan adanya aktiviti memproses emping secara berkumpulan ini secara langsung membantu menghidupkan kembali proses pembuatan makanan tradisi itu,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Pekan Budaya Kuala Berang, Kuala Berang Eco-Fest serta Festival Batu Bersurat yang berlangsung serentak selama 10 hari di Kuala Berang, hari ini.
Mohamed Nazri berkata, emping mempunyai nilai warisan yang cukup tinggi dan boleh menjadi antara tarikan pelancongan kerana cara pembuatannya yang unik, mudah serta rasanya yang enak.
Sementara itu, peserta, Esah Embong, 63, dari Kampung Lubuk batu, berkata emping adalah makanan tradisi yang dijadikan sebagai juadah bersarapan dan minum petang dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Saya mula menghasilkan emping sejak muda lagi untuk dijadikan juadah ringan untuk dinikmati keluarga.
“Cara membuat emping cukup mudah dimana kita hanya memerlukan padi yang sudah digoreng kemudian ditumbuk dan seterusnya ditampi.
“Selepas selesai, kita boleh menikmatinya dengan kelapa parut dan juga kuah yang dihasilkan dengan telur, santan dan manisan,” katanya.
Peserta, Nurul Azamiah Salleh, 21, dari Perumahan Tok Randok, berkata aktiviti menghasilkan emping beramai-ramai adalah pendekatan yang amat baik bagi meneruskan kesinambungannya kepada generasi baru.
“Sebelum ini saya tidak pernah tahu cara pembuatan emping. Selepas saya menyertai program ini saya dapati cara pembuatannya amat mudah dan menyeronokkan.
“Malah, saya berharap program ini akan diteruskan pada masa akan datang dan mendapat sambutan yang lebih ramai daripada generasi muda.
Sumber : TK
No comments:
Post a Comment