Wednesday, September 24, 2014

Hulu Terengganu berubah wajah menjelang 2020.


7

Menjelang 2020 bakal menyaksikan perubahan landskap keseluruhan Daerah Hulu Terengganu apabila beberapa kawasan pertanian di daerah itu dibangunkan dengan industri serta kawasan perumahan yang lebih tersusun.

Transformasi itu akan dilaksanakan mengikut Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu (RTDHT) 2015-2020 untuk meningkatkan kawasan industri dan pembangunan perumahan serta kemudahan awam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri Dato’ Rozi Mamat berkata, tambahan kawasan perindustrian bagi Hulu Terengganu termasuk projek Taman Industri Terengganu (TIP) akan meningkat daripada seluas 2,206.4 hektar kepada 2,380.2 hektar.

“Kita melihat perancangan awal untuk pembangunan bandar adalah penting bagi mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan dan bagi mengatasi masalah bandar seperti kesesakan lalu-lintas dan tekanan pembangunan.

“Pembangunan dan penyusunan semula bandar Kuala Berang perlu diberi perhatian melalui pembangunan semula secara terpilih dan pengezonan semula guna tanah,” katanya ketika merasmikan Publisiti Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu (Pengubahan).

Rozi memberitahu, penyusunan semula Bandar Kuala Berang sedang dirancang dalam usaha mewujudkan bandar itu sebagai bandar kecil mampan yang dilengkapi komponen perbandaran, berimej dan beridentiti Bandar Warisan Batu Bersurat.

Menurutnya, begitu juga dengan pekan Ajil yang bakal menerima lonjakan pembangunan ketara dengan siapnya Lebuhraya Pantai Timur dan cadangan pembangunan pusat komersil Ajil yang bakal menjana peningkatan berganda dalam aktiviti perniagaan setempat.

Katanya pemantapan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam akan dapat menyumbang ke arah perkembangan ekonomi daerah secara menyeluruh.
Rozi berkata Majlis Daerah Hulu Terengganu telah mengambil tindakan untuk mengkaji semula kawasan guna tanah khususnya bagi kawasan Kampung Langgar, Kampung Gaung dan Kampung Telaga.

Tambah beliau, kawasan-kawasan ini merupakan kawasan tanaman padi yang telah diwartakan, tetapi tidak dapat diusahakan kerana ketiadaan pengusaha dan kemudahan sistem pengairan menyebabkan ia terbiar dan dipenuhi semak.
Sumber TK. 

No comments:

Post a Comment