Saturday, April 12, 2014

Kerajaan Negeri Taja RM1 Juta Untuk Projek Terengganu De’ Everest


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said menyerahkan replika cek RM 1 juta kepada Presiden Persatuan Kembara Negara, Dato’ khalid Yunus

Kerajaan negeri mengumumkan penajaan sebanyak RM1 juta untuk projek Terengganu De’ Everest 2015.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, penajaan tersebut membuktikan sokongan padu kerajaan negeri terhadap lapan anak Terengganu yang akan menyertai ekspedisi menawan puncak gunung Everest di mana misi pendakian dilaksanakan antara April hingga Jun tahun hadapan.


Para peserta Terengganu De’ Everest 2015 yang begitu bersemangat

“Selain lapan pendaki utama, lima pendaki sokongan turut menyahut cabaran menjayakan misi kerajaan negeri melalui pendakian gunung setinggi 8,848 meter yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Kembara Negara (PKN).

“Melalui proses pemilihan dan saringan, dua wanita juga antara yang terpilih membawa misi kerajaan dan mengibarkan bendera negeri di puncak gunung tertinggi di dunia itu,” ujarnya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said menyerahkan bendera negeri Terengganu kepada ketua ekspedisi Terengganu De’ Everest 2015, Dato’ Khalid Yunus

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negeri Kepada Ketua Kontijen Pendaki Gunung Everest 2015 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat.

Menurut Ahmad, kerajaan negeri juga akan memberi pengiktirafan kepada peserta yang berjaya mengharumkan nama negeri dalam ekspedisi yang sangat mencabar itu.

Mereka yang terpilih adalah Mohd Anuar Mohd, Mashelmie Sidik, Mohd Izzat Imlan Zahari, Mohd Redzauddin Ismail, Ahmad Saharudin Abdullah, Nor Asma Fadzila Mansor, Mohd Azhari Abdul Wahab dan Wahida Amalin Masngun.

Ekspedisi Terengganu De’Everest akan diketuai Presiden PKN, Dato’ Khalid Yunus dan Mohd Rafi Kori, anak Terengganu pertama yang berjaya menawan gunung Everest pada 2007 dilantik sebagai ketua jurulatih.

Sementara itu menurut Khalid, lapan peserta ini akan menjalani latihan fizikal termasuk di dalam dan luar negara.

“Mereka (peserta) akan menjalani latihan selama lima hari seminggu iaitu tiga hari menjalani latihan di gimnasium, sehari di kolam renang dan sehari lagi untuk larian bagi meningkatkan stamina.

“Dari segi pendakian pula, setiap bulan mereka akan mendaki sekurang-kurangnya satu gunung di dalam negara dan kami telah mengenal pasti beberapa gunung di luar negara untuk mereka jalankan latihan termasuk Gunung Anapurna di Nepal, Gunung Kilimanjaro, Tanzania dan Gunung Elbrus di Rusia,” katanya.

Seorang peserta terpilih menyahut cabaran Terengganu De’ Everest, Mohd Redzauddin Ismail, 42, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Besut, berkata sebagai ketua pasukan beliau akan memikul tanggungjawab bagi memastikan misi dan harapan kerajaan negeri ini akan dapat dijayakan dengan selamat.

“Sebagai persedian untuk menawan gunung Everest , selain mengikuti latihan yang dikendalikan oleh PKN, saya turut melakukan latihan secara persendirian seperti berbasikal, berenang dan sebagainya sekurang-kurangnya empat kali seminggu untuk menguatkan stamina.

“Pengalaman mendaki saya setakat ini di dalam negara sahaja dimana saya telah mendaki beberapa gunung termasuk Gunung Kinabalu (Sabah), Gunung Tebu (Terengganu) serta Gunung Ledang (Johor),” kata bapa kepada enam orang anak itu.

Wahida Amalin Masngun, 20, pelajar perakuanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pula berkata, beliau sanggup menangguhkan pelajarannya buat sementara waktu untuk menumpukan perhatian bagi menjalani latihan intensif yang diwajibkan terhadap semua peserta.

“Memang saya sangat teruja untuk meneruskan misi menawan Everest ini kerana saya mahu buktikan walaupun saya wanita, saya juga mampu untuk turut sama mendaki seperti peserta lelaki dan pendaki lain yang pernah menawan Everest.

“Walaupun tahu risiko pendakian ini agak sukar, ia tidak menjadi penghalang buat saya kerana saya berpendapat kita perlu merebut peluang yang diberikan,” ujarnya.

Sumber : TK

No comments:

Post a Comment